8 April 2021 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah mengadakan majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim pada petang ini bertempat di VIP Lounge, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap Kemasyarakatan dan Kebudayaan; Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan); Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat; Yang MuliaPg Mohd Aliuddin bin Pg Hj Ramlee, Pengurus Perdagangan, wakil Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei; Yang Mulia Awang Amir bin Pehin Dato Haji Hussin, Ketua Pengurusan Bahagian Operasi, wakil ketua pegawai eksekutif Datastream Digital Sdn Bhd; Yang Mulia Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif, Progresif Sdn Bhd, Yang Mulia Irshad Ahamed, Naib Presiden Pengalaman Pelanggan, wakil Ketua Pegawai Eksekutif, Imagine Sdn Bhd;; serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat; Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST, Progresif Sdn Bhd dan Imagine Sdn Bhd.
SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan Syarikat Imagine Sdn Bhd. Projek ini bermula sejak tahun 2005 dan sehingga kini mendapat sambutan yang sangat menggalak kan daripada orang ramai dengan semua kutipan yang diterima disumbangkan kepada Tabung Anak Yatim di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Pelancaran SMS Brunei Prihatin juga merupakan salah satu kaedah yang berkesan untuk memudahkan orang ramai menghulurkan derma bagi membantu anak yatim di Negara Brunei Darussalam.
Kutipan derma melalui SMS yang dilancarkan pada hari ini akan berlangsung selama 3 bulan bermula hari ini 8 April 2021 dan berakhir pada 8 Julai 2021. Oleh yang demikian, orang ramai bolehlah menderma melalui perkhidmatan SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999.
Bahagian Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan,
Jabatan Pembangunan Masyarakat,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,
25 Sya’ban 1442/8 April 2021
Validate your login